Tuesday, June 16, 2009

Aktiviti Anak Muda: Muay Thai di Pokok Tampang


TASEK GELUGOR 6 Mac - Tinju Siam sememangnya tidak asing lagi bagi anak-anak muda di Kedah disebabkan kedudukan negeri itu yang berjiran dengan Thailand.

Lebih dikenali sebagai Muay Thai atau tomoi, seni mempertahankan diri kebanggaan rakyat Thailand itu kini mendapat tempat di hati belia Kampung Pokok Tampang, dekat sini.

Walaupun ia masih baru, atas usaha seorang pemuda bernama Sazali Ibrahim, sukan tomoi kini menjadi aktiviti untuk mengisi masa lapang belia di kampung tersebut.

Menurut Sazali, sukan itu bukan ganas sebaliknya menerusi sukan tersebut ia dapat memupuk disiplin di kalangan peninju.

"Ia juga mengajar kita semangat setia kawan dan bekerja dalam satu pasukan," katanya ketika ditemui di Gelanggang Tomoi Pokok Tampang baru-baru ini.

Menurutnya, apabila terdapat aktiviti sebegitu, sekurang-kurangnya masa lapang anak-anak muda kampung diisi dengan cara yang lebih berfaedah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shabudin Yahaya memuji usaha semua pihak yang membuka gelanggang Muay Thai di kampung tersebut.

Beliau berkata, dengan adanya aktiviti seperti itu yang diadakan dua kali seminggu, belia kampung tidak akan melepak di bandar-bandar tanpa arah tujuan.

"Sukan ini baru di kalangan belia kita tetapi saya lihat remaja di kampung Pokok Tampang ini sudah berjinak-jinak dengan sukan ini.

"Saya gembira dan mahu melihat sukan dari negara jiran ini terus berkembang di kalangan anak-anak kampung," katanya.

Sukan Muay Thai membenarkan peninju menggunakan kaki dan tangan untuk gerakan menendang dan menumbuk lawan.

Mereka juga akan memakai pelindung kepala dan sarung tangan bertujuan melindungi diri daripada kecederaan dalaman yang teruk.

Selain menggunakan kaki, peninju akan menggunakan anggota tubuh seperti tangan, siku dan lutut untuk menyerang pihak lawan.

No comments:

Post a Comment