Friday, June 19, 2009

Penduduk Tasek Gelugor Terima Manafaat Landasan Keretapi Berkembar





BUTTERWORTH, 18 Mac (Bernama) -- Penduduk Tasek Gelugor bakal menerima beberapa kemudahan infrastruktur dan peluang menjana aktiviti ekonomi berikutan pembangunan kawasan itu yang menjadi antara laluan pembinaan projek landasan keretapi berkembar elektrik dari Ipoh ke Padang Besar. Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shabudin Yahaya berkata menerusi projek yang dimajukan oleh MMC-Gamuda Joint Venture Sdn Bhd (MMC-Gamuda) itu, Tasek Gelugor bukan sahaja mendapat sebuah stesen keretapi yang canggih malah dilengkapi kemudahan prasarana moden. "Pekan Tasek Gelugor akan berubah wajah dan kita berharap kerajaan serta pemaju menyediakan beberapa prasarana bagi memastikan kehidupan penduduk tidak terjejas antaranya, pusat perniagaan baru untuk menempatkan semula peniaga yang premis perniagaan mereka terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan jejambat empat lorong landasan keretapi itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan sesi dialog antara Pengurus Kanan Projek MMC-Gamuda, Sahimi Abdullah dan lebih 40 penduduk yang terlibat dengan projek itu di sini, Rabu. Selain itu, penduduk juga berharap pihak pemaju dapat menyediakan dua jejantas pejalan kaki dan motosikal berhampiran tapak stesen keretapi serta Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya bagi memudahkan penduduk di kedua-dua belah landasan untuk menyeberang dengan selamat, katanya. Setakat ini, Shabudin berkata difahamkan 95 peratus daripada penduduk terlibat menerima pampasan yang dibayar oleh Kementerian Pengangkutan dan 20 peratus daripada jumlah itu menghadapi masalah kerana akaun bank tidak aktif, kesalahan ejaan nama serta masalah pembahagian harta pusaka yang belum diselesaikan. Projek landasan berkembar sepanjang 329km dari Ipoh ke Padang Besar, yang bernilai lebih RM12 billion, dijadual siap pada 2013. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment