Friday, June 19, 2009

Pelatih bakar pusat serenti Kg Selamat, cabar polis




TASIK GELUGOR - "Saya melihat dua pelatih pusat serenti yang menutup muka ala ninja berlari dengan membawa tong minyak manakala beberapa pelatih lain dengan kayu menaiki traktor mengelilingi tiga blok pentadbiran yang sedang terbakar."

Demikian cerita seorang penduduk, Ali Osman, 58, yang menyaksikan kejadian rusuhan yang tercetus di Pusat Serenti Kampung Selamat di Tasek Gelugor di sini semalam.

Ali yang tinggal kira-kira 500 meter dari pusat serenti tersebut berkata, rusuhan itu diketahui pada pukul 6 petang selepas dimaklumkan oleh seorang anaknya.

"Keadaan di pusat serenti tersebut hura-hara dengan sorakan pelatih yang merusuh dan mereka kelihatan ganas," kata beliau semasa ditemui tidak jauh dari pusat serenti itu malam tadi.

Kata beliau, tindakan membabitkan hampir semua pelatih di situ menyebabkan pegawai di pusat serenti itu berundur keluar.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Amir berkata, pelatih di pusat serenti itu jelas menguasai pusat serenti itu dan mereka langsung tidak menghiraukan arahan polis.

Malah kata Amir, ada beberapa kumpulan pelatih itu mencabar anggota polis yang cuba menghampiri mereka.

Kata beliau, dalam keadaan tegang itu beberapa buah kenderaan pegawai di pusat itu juga dibakar.

Bagaimanapun, Amir memberitahu, pada pukul 8 malam, anggota polis, bomba dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) masuk ke dalam pusat serenti itu menyebabkan pelatih-pelatih tersebut berundur ke belakang.

Seramai 30 penghuni Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini dipercayai dapat memboloskan diri dari pusat itu semasa rusuhan yang mengakibatkan kebakaran beberapa blok bangunan semalam.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, selepas pemeriksaan hanya 492 daripada 522 penghuni pusat itu yang berada dalam kawasan berkenaan awal pagi Sabtu dan polis sedang mengenalpasti identiti mereka.

Katanya, polis melancarkan gerakan memburu mereka dengan mengadakan sekatan jalan raya serta pemeriksaan di kawasan berhampiran serta merta.

Semasa bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, dua daripada 30 yang melarikan diri berjaya ditahan semula di kawasan Padang Serai, iaitu sempadan antara Pulau Pinang-Kedah.

Katanya, kesemua 492 penghuni itu akan dipindahkan ke beberapa buah pusat serenti yang lain dalam masa terdekat.

Ayub berkata, rusuhan itu berjaya ditamatkan dan seramai 589 anggota polis dan pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terlibat dalam operasi berkenaan sejak lewat petang semalam.

Selain anggota polis, katanya, 57 anggota Bomba dan Penyelamat terlibat dalam pemadaman kebakaran di pusat itu.

Menurutnya, selepas pemeriksaan dijalankan 11 daripada 12 bangunan yang ada di pusat itu didapati rosak termasuk tiga yang musnah dalam kebakaran, antaranya blok klinik dan pusat latihan.

"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan tiada sesiapa yang cedera dalam rusuhan itu ataupun ditahan sebagai tebusan," katanya.

Beliau berkata, rusuhan itu dipercayai berpunca daripada sembilan penghuni pusat yang ditahan di dalam sel kerana didapati masih positif dadah walaupun menjalani proses pemulihan.

Ketika ditanya jumlah petugas pusat itu yang berada di kawasan berkenaan ketika kejadian, tanpa menyatakan dengan jelas Ayub berkata, jumlah mereka adalah mencukupi.

No comments:

Post a Comment